wah... cantik punya kek...(sekadar iklan sahaja ye..)
Menurut Chef Wan, proses membuat kek adalah 'proses tepat' yang bahan-bahannya perlu seimbang antara satu sama lain bagaikan satu rumusan kimia. Malah, memang berlaku proses kimia apabila bahan kek mentah dibakar dan menjadi satu hidangan makanan/manisan yang lazat.
Tidak dapat digambarkan keistimewaan perkataan 'kek' jikalau dibandingkan proses membuat adunan kek manis yang dibakar, disapu inti di tengahnya dan disalut gula aising, yang direka bentuk dengan mudah di sekeliling kek. Keindahan kek ini dapat memberikan kepuasan. Seni memasak kek ada unsur seni reka yang tersendiri. Kek adalah asas struktur, intinya sebagai lepa dan aisingnya sebagai jubin atau pertukangan papan, menjadikannya satu bentuk yang sempurna.
Untuk membuat kek, bahan-bahan asasnya ialah gula, tepung, telur, lelemak... kepelbagaian boleh dicapai dengan menukar rasa, tekstur, rupa dan bentuknya untuk mendapatkan hasil kek yang baik. Berikut Chef Wan telah menurunkan beberapa petua penting dalam seni menyediakan kek.
- Semua bahan hendaklah berada pada suhu bilik melainkan jika resipi itu memerlukan bahan berkenaan sejuk, contohnya mentega. Jika terus digunakan dan peti sejuk, apabila dipukul mentega bersama gula dan telur, ia lambat mengembang apatah lagi menjadi gebu. Apabila dibakar dan dipukul sedang adunan belum cukup kembang, kek itu akan bantat dan tidak lembut. Begitu juga telur. Pukul satu-persatu supaya setiap kali dipukul udara dimasukkan. Ini menggebukan lagi kek itu.
- Fahamilah fungsi ketuhar anda sebab setiap ketuhar berfungsi secara berlainan. Bergantung berapa umur ketuhar, sama ada sudah uzur ataupun baru dibeli, waktu memanaskannya juga penting sebelum kek itu dibakar. Pastikan selalu memanaskan ketuhar dahulu. Jangan ketika hendak membakar kek baru hendak dihidupkan ketuhar. Selalunya 15 minit memanaskannya sudah mencukupi.
- Apabila membakar kek, letakkan ia di tengah-tengah ketuhar, melainkan resipi menyatakan sebaliknya.
- Jangan memukul terlalu lama apabila memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, adunkan tepung hingga ia sebati sahaja. Memukul terlalu lama akan menarik struktur gluten pada tepinya dan menyebabkan kek keras.
- Untuk mendapatkan kek ringan dan gebu, mentega perlu dipukul sampai berkrim.
Membakar kek suatu kerja mudah tetapi apa akan terjadi pada kek apabila ia dikeluarkan dari ketuhar?
Masalah Yang Sering Dihadapi
Jarang sekali kita dapat menentukan kenapa kek tidak menjadi seperti pada gambar resipi. Perlu ingat, semua bahan hendaklah ditimbang dengan betul dan gunakan penimbang serta camca penyukat dan acuan tin yang ditetapkan dalam resipi. Bukan cawan kopi, cawan teh tetapi cawan sukatan metrik. Dan bukan camca teh, camca makan di rumah... tetapi camca sukatan. Apabila kek sedang dibakar, jangan sekali-kali membuka pintu ketuhar sebelum tiga suku membakar kerana angin yang berlainan hawa akan membuatkan kek mendap di tengahnya. Di bawah disenaraikan masalah lain dan sebabnya.
- Kek Terlalu Lembap dan Leper
- Terlampau banyak cecair.
- Bahan penaik tidak mencukupi atau sudah luput tarikh penggunaannya.
- Lemak dan gula tidak dipukul secukupnya.
- Adunan mentega berketul-ketul dan tidak halus.
- Ketuhan terlampau panas atau acuan kek tidak diletakkan di tengah tengah ketuhar.
- Kekurangan cecair.
- Acuan tin terlalu kecil.
- Ukuran acuan tin tidak betul.
- Sukatan bahan tidak tepat.
- Ketuhar terlalu panas, terlalu sejuk atau dibakar dalam jangka masa singkat.
- Pintu ketuhar dibuka terlalu awal.
No comments:
Post a Comment