Wednesday, December 28, 2011

Fibroid lagi??.. petikan dr doctor hamid arshat pakar sakit puan...

MENGAPA WANITA TUMBUH FIBROID?
 Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini, saya ingin membincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Saya percaya ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju dengan saya bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.

Pelbagai Gangguan Haid
Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar.
         Saya ingin menekankan di sini, bahawa gangguan haid pada wanita dalam umur sekitar empat puluhan atau lebih, boleh menandakan penyakit yang sangat berbahaya dan ditakuti seperti kanser pangkal rahim.


Oleh itu, saya ingin menasihatkan kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang saya nyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor mereka atau daripada pakar sakit puan.


Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim

Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan.

        Bagaimanapun, saya hanya akan membincangkan tentang fibroid kerana saya percaya, bahawa ini merupakan ketumbuhan dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam kesihatannya.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?

Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.

        Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.


Mengapa Tumbuh Fibroid?

        Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
        Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.
        Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
 Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan.
        Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.

        Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.



Apakah Gejala-gejala Fibroid?

Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen.  Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang  sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.


Gangguan Haid

Saya telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya. 

        
Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan.


Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.
        Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya.  Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim.

Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala  wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.

Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan.
Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa.

Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.
Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
        Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.


Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan  ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.


Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon
Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang  ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila  masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan  berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi.
Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.
       

Akhir kata, saya ingin menekan sekali lagi, bahawa fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya. Setakat ini tidak ada ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan ini. Rawatan yang mutlak baginya ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sama ada ketumbuhan itu disertai dengan pembuangan rahim atau hanya pembuangan ketumbuhan sahaja. Umur empat puluhan ialah tahap umur yang sering diserang dengan masalah ketumbuhan fibroid.


Oleh itu, saya ingin menyeru sekali lagi supaya wanita perlu bertemu dengan doktor pakar sakit puan untuk dapat pemeriksaan, khususnya mereka yang mempunyai masalah yang saya nyatakan di atas.

Celupan Allah


Pernah, satu masa seorang Badwi menjadi mulia. Sang Nabi S.A.W pedoman murni mengagih-agih harta rampasan perang dan Badwi menolaknya. Katanya, aku tidak berjuang untuk semua emas dan perak. Jerihnya bukan untuk disanjung, susahnya bukan mahu didokong.
Sambil menunjukkan ke lehernya, katanya, "Aku hanya berjuang agar anak panah musuh dibenam dalam tengkukku ini, duhai Rasulullah."
Jelas. Tegas. Ikhlas.
Jawab Rasulullah S.A.W, "Kalau itu yang kamu mahu, moga Allah sampaikan hasratmu."
Kemudian terjadilah lagi peperangan. Berjuanglah para Mukmin mencari syahid, mencari syurga tertinggi langit. Syahadah, yang menjadi janji dengan Allah kini ternampak kesannya. Di medan tarung itu menjadi ramailah manusia yang percaya dan memuncak cintanya.
Seusai jihad, Muslimin mencari Sang Badwi. Ternyatalah telah tembus anak panah musuh di tengkuknya. Badwi telah syahid, terjumpa syurga tertinggi langit. Manusia-manusia yang tercelup dengan celupan Allah itu luar biasa. Cintanya mendasar dalam dan rindunya memusat dendam. Dia bercinta dengan Tuhan, dan cintanya sangat dahsyat. Merasakan kebersamaan Allah dalam setiap inci kehidupannya,dan merindui Allah pada waktu lupanya. Di saat-saat susah dia mencari Allah. Pada waktu-waktu bahagia dia memuji Yang Maha Kaya.

Firman-firman Allah S.W.T, penguasa sekalian manusia,

“Celupan Allah yakni agama Islam, dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.” (Al-Baqarah:138)
"Dan di antara manusia yang menyembah Tuhan selain daripada Allah, mereka mencintainya, memuja dan mentaatinya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman itu sangat besar cinta mereka kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya milik Allah, dan bahawa Allah sangat berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Al-Baqarah:165)

Dan menjadi resam, setiap yang bercinta itu berkorban. Kau sudah tahu cerita Taj Mahal dan Shah Jahan. Kini aku mahu berkisah tentang seorang sahabat namanya Mus'ab bin Umair. Sebelum Islam, beliau pembuat hati menjadi cair. Terlalu tampannya Mus'ab, sehingga para gadis tergila-gilakannya. Popular. Kaya. Dia yang paling ideal, paling sempurna.
Setelah beliau memeluk Islam, beliau syahid di medan Uhud. Saat dia mahu dikapankan, kainnya tidak cukup panjang. Ditutup kepalanya terdedah kaki. Ditutup kaki terdedah kepala. Lantas ditutup kepalanya dan diambil daun-daun kering untuk menutup kakinya.
Itu harganya cinta, teman. Cinta untuk Tuhan. Oh, apa sahaja yang sanggup aku dan kau korbankan? Bila pula kali terakhir aku dan kau meredam cinta-cinta yang memberhala di jiwa, selain cinta dengan Allah? Ujar para pentafsir, celupan Allah itu agama.
Ayuh, kita beragama. Menjaga solat yang lima. Istiqamah dalam membaca al-Quran. Khusyuk dalam rukuk. Menghamba di dalam sujud. Membasah lidah dengan zikrullah. Mencari teman-teman pengingat Allah. Menjadi sibuk dengan kuliah-kuliah. Berdoa, penuh mendesah. Tahajjud, menghapus salah. Dalam jutaan warna yang boleh kau corakkan jiwamu, warnakanlah dengan celupan Allah Yang Satu. Moga akhirnya mati sebagai pemenang.

Glosari 

1) Meredam=Menahan
2) Mendesah=Berbicara dengan perlahan

5 Punca Mata Anda Cepat Letih


Mungkin sebelum ini anda sendiri tidak sedar apakah punca-punca yang menyebabkan mata anda cepat berasa letih dan penat.
Antaranya ialah:-

1.Terlalu fokus
Apabila anda melakukan sesuatu terlalu fokus seperti membaca, memandu atau melihat paparan skrin komputer, otot mata anda sebenarnya akan bekerja lebih keras. Ini akan menyebabkan mata anda akan cepat berasa letih dan mengantuk. Rehatkan mata anda sebentar seperti melihat tumbuhan hijau sebelum kembali menyambung tugasan.

2.Masalah mata
Mata anda cepat berasa letih berkemungkinan juga disebabkan oleh mata anda sendiri yang mempunyai masalah. Mata yang mempunyai masalah kebiasaannya perlu bekerja lebih kuat daripada kebiasaan. Anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar.

3.Sistem pencahayaan yang tidak baik
Sistem pencahayaan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit akan menyebabkan otot 'sphincter' dan 'dilatory' untuk bekerja secara berlebihan. Ini akan menyebabkan mata anda akan berasa cepat letih.

4.Bekerja lebih masa
Ramai yang beranggapan bahawa cara terbaik untuk merehatkan mata adalah dengan menonton tv, membuka laman-laman sosial, melayari internet, bermain telefon bimbit atau sebagainya. Tetapi ia sebenarnya hanya akan menyebabkan mata anda untuk bekerja lebih masa.

5.Jarang berkelip
Tahukah anda bahawa seseorang yang kurang kadar kelipan matanya akan meyebabkan mata mereka kekeringan. Disebabkan faktor ini anda dinasihatkan untuk tidak terlalu fokus melakukan sesuatu tugasan secara berterusan. Rehatkan mata anda sebentar pada setiap jam ketika anda melakukan tugas.

Bila Izrail melakukan tugas....


  • Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu. “Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.

Cinta Allah Sumber Kekuatan Luar Biasa


Makanan roh itu ialah mengenal dan cinta kepada Allah. Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada selain Allah, maka binasalah roh itu. Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi roh. Badan itu akan hancur, tetapi roh tetap hidup.
Roh sepatutnya menjaga dan mengawasi semua anggota badan. Pastikan setiap inci pergerakannya selari dengan kehendak Allah. Anggota tidak akan bertindak selagi kita (roh) tidak mengarahkannya. Saya lebih sesuai menterjemahkan roh sebagai hati kerana hatilah memainkan peranan yang terpenting dalam melahir dan menzahirkan seni praktikal.
Imam al-Ghazali menegaskan di dalam Ihya Ulumuddin bahawa hati itulah raja yang segala anggota taat dan patuh kepadanya.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Nukman ibn Basyir r.a. sabda Rasulullah s.a.w., " Di dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila baiknya ia, maka baiklah jasad itu. Apabila jahat, nescaya jahatlah seluruh jasad itu. Ia adalah hati."
Demikian itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh membaikkan hati dan memelihara juga memuliharanya daripada segala bintik-bintik noda yang menghitamkan hati.
Keperluan badan manusia terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara ini cenderung menyalahi akal dan melampaui batasan. Oleh itu, kemahuan ini perlulah disekat dan dibatasi dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Manusia pasti terpesona dan terpikat melihat warna-warni pelangi yang menghiasi dunia, tergodanya mereka dengan 'syurga' dunia yang menghancur dan membinasakan diri mereka akhirnya. Melainkan insan-insan bertuah yang diselamatkan Allah. Mereka berhati-hati supaya tidak tergoda. Pintalah keselamatan daripada Allah. Rayulah agar Dia memelihara kita daripada segala kejahatan, mungkin datang dari lubuk hati, atau nafsu, Syaitan, juga Syaitan manusia.
Usaha tidak terhenti di situ, kita mestilah berusaha memelihara hati dan diri daripada perbuatan haram yang akan mengotorkan hati dan langsung akan menjarakkan hubungan kita dengan Tuhan. Tuhanlah matlamat kita. Ke manakah kita sehari-hari? Menuju ke mana? Kalau bukan kembali kepada Pencipta, Allah al-Khaliq.
Manusia yang tidak menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya akan menemui kegagalan dan kemuflisan dalam merencah rencah-rencah delima hidup ini.
Cinta kepada Allah merupakan sumber dan benteng kekuatan yang akan menghalang kita daripada terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Untuk menguatkan agar cinta kita tidak tergugat, perlulah ia dibajai dengan sifat-sifat yang mulia, terutamanya sifat zuhud.
Bagi membolehkan kita sampai ke matlamat yang sebenar demi kebahagian di dunia dan akhirat, perlulah kita memandang dunia ini dengan pandangan yang betul. Kenapa perlu berzuhud dengan dunia?
Zuhud
Zuhud dalam ertikata melihat dunia ini tidak lebih dari kepentingan Akhirat. Mencari hasil dunia jangan sampai lagha kepada Tuhan. Saya lebih sesuai dengan makna begini.
Kekayaan tidak menghitamkan keimanan selagi kayanya kita ini semata-mata kerana Allah Ta'ala. Namun sekiranya harta itu membuatkan kira semakin leka akan hakikat diri, sesungguhnya kekayaan itu bakal menghancurkan pemiliknya seperti anai-anai menghancurkan kayu.
Firman Allah, "Kekayaan telah melalaikanmu," ayat pertama dalam surah al-Takasur ini jelas larangan kekayaan yang menyebabkan kita lagha dan lalai kepada Allah. Adapun kekayaan yang dipentaskan oleh keimanan kepada Allah pasti akan menghasilkan hasil yang lumayan untuk ummah. Insya-Allah!
Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi r.h. menyimpulkan tipu daya dunia kepada penduduknya dengan pelbagai cara. Antaranya:
1. Ia berpura-pura kekal bersama kita. Hakikatnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan, " Selamat tinggal," kepada kita. Seperti bayang-bayang yang tampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.
2. Dunia ini berpusing-pusing seperti ahli sihir yang menawan tetapi jahat. Dia berpura-pura cinta kepada kita, kemudian dia kembali kepada musuh dan meninggalkan kita yang kesedihan dan berputus asa.
Inilah wajah dunia.
Seorang guru telah menasihati Ibrahim ibn Adham dengan mengemukakan beberapa nasihat iaitu:
1. Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.
2. Orang yang banyak makannya janganlah kamu harapkan sangat kata-kata hikmat daripadanya.
3. Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat husnul khatimahnya.
4. Orang yang melupakan hal kematiannya janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.
5. Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.
6. Orang yang mencari keredaan manusia janganlah kamu harapkan sangat akan keredaan Allah kepadanya.
Demikianlah nasihat gurunya kepadanya.
Tafakur
Senjata seterusnya untuk membentengi Iman dan menyuburkan cinta kita kepada Allah Taala ialah tafakur.
Merenung memikirkan ciptaan Allah. Ambil sejenak waktu, renunglah bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan sirna lenyap sama sekali! Maka nampaklah betapa dunia ini berupa tipuan belaka. Tiada kalimah yang dapat diungkapkan untuk menjelaskan betapa ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang tetap dan kekal. Membuat rancangan untuk sepuluh tahun mendatang, sedangkan mungkin dia akan berada di dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari sahaja lagi! Siapa tahu?
Siapa yang membiarkan dirinya ditenggelamkan lautan keindahan dunia fana ini, dihempas ombak nafsu yang menggila, suatu saat nanti tangannya akan menyumbatkan makanan ke dalam mulutnya dan kemudian memuntahkan semula! Kelazatannya hilang sirna. Bagai helang yang hilang sayapnya.
Harta semakin betimbun. Jiwa semakin rimas mencecah usia tua. Sayangnya untuk meninggalkan kemewahan yang selama ini dikecapi. Semakin pedih dan sedihlah hendak meninggalkan semua itu. Kelak tidak berharga serimis pun!
Kepedihan meninggalkan dunia, di Akhirat juga akan terasa pedihnya. Kebahagiaan saat meninggalkan dunia, di Akhirat pun ada bahagia menanti. Insya-Allah.
Janganlah teragak-agak lagi untuk menjernihkan hati. Baikilah hubungan kita dengan Allah. Usah dicemari lagi, semoga Dia menjaga hati juga jiwa juga roh kita kesemuanya.
(Rujukan: Al-Hub ila Allah karangan Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi , Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali, Penawar Bagi Hati karangan Syeikh Abdul Qadir Abdul Mutalib)
- Artikel iluvislam.com

Petua Untuk Sedapkan Tempoyak Ikan Patin



  • 1. Basuh ikan patin dengan cuka dan toskan.
    2. Tumbuk kunyit hidup, cili api, bawang merah, bawang putih dan garam.
    3. Perap bahan tumbuk dan daun kesom bersama ikan patin selama 15 minit, masukkan tempoyak, ikan, dan air.
    4. Selepas itu anda boleh masak tempoyak ikan patin.

Petua Mengelakkan Nasi Cepat Basi



  • Untuk mengelakkan nasi yang dimasak dari cepat basi, semasa anda membasuh beras kali pertama hingga ke tiga, gunakan tangan anda. Selepas itu, untuk kali ke 4 bila anda masukkan air ke dalam beras itu anda tidak perlu lagi menyentuh air tersebut walaupun untuk mengukur.

Petua Untuk Pekatkan Kuah Tomyam



  • Potongkan beberapa biji tomato dan kisar dengan sedikit air. Masukkan air tomato ke dalam tomyam anda. Tomyam bukan sahaja sedap, malah warnanya juga berseri dan menarik. Anda juga boleh masukkan sedikit bancuhan air tepung jagung.

Petua Jika Terkena Air Panas


  • Petua Jika Terkena Air Panas
    Gosok perlahan-lahan bahagian yang melecur dengan air sabun mandi. Lakukan sehingga bahagian yang melecur tidak sakit lagi.

Ape ade pada Doa duduk antara Sujud


  • TAHUKAH KAMU.....
    Doa duduk antara Sujud yang kita selalu baca laju2..
    tahukah ...
    maksudnya??
    Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)
    Warhamni (sayangi aku)
    Wajburnii (Tutuplah aib-aibku)
    Warfa’nii (Angkatlah darjatku)
    Warzuqnii (Berilah aku rezeki)
    Wahdinii (Berilah aku petunjuk)
    Wa’Aafinii (Sihatkan aku)
    Wa’fuannii (Maafkan aku)

KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT




  • KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

    KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
    ...
    KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

    KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

    KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

    KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

    KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

    KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.