Monday, December 26, 2011

Fibroid masalah biasa wanita berusia 30an???


WANITA mudah panik jika diberitahu bahawa ada fibroid tumbuh dalam uterusnya. Fibroid mungkin boleh tumbuh di dalam, di luar atau di dinding rahim. Bagaimanapun, jika anda lebih mengenali apa itu fibroid, anda mungkin lebih tenang.

Ada pelbagai nama digunakan merujuk pada fibroid dalam rahim, tetapi apa yang perlu anda tahu fibroid bukan barah. Fibroid memang masalah biasa di kalangan wanita berusia antara 30 dan 40 tahun. Fibroid selalunya tidak memberi banyak masalah malah kebanyakan wanita tidak tahu dia berhadapan dengan ketumbuhan dalam rahim itu.
Apa yang menyebabkan fibroid?
Tiada jawapan khusus untuk soalan ini, tetapi hormon wanita, estrogen dan progesteron boleh menyebabkan ia tumbuh. Tubuh menghasilkan tahap tertinggi kedua-dua hormon ini sepanjang usia kesuburan.
Penghasilan hormon ini mungkin berkurangan selepas wanita putus haid. Fibroid akan mengecut ketika itu dan tiada simptom yang akan ditunjukkan.
Mengenali simptom fibroid
Lazimnya, fibroid tidak menunjukkan sebarang simptom. Bagaimanapun, ada beberapa simptom yang agak ‘lemah’ boleh dikaitkan dengan fibroid. Antaranya, darah haid keluar dengan banyak berbanding normal. Jika fibroid berdarah atau menekan organ lain simptom juga akan muncul iaitu;
  • Haid yang lama dan anda kerap berasa kejang.
  • Rasa perut ditekan atau penuh.
  • Sakit bahagian bawah belakang.
  • Sakit ketika hubungan kelamin.
  • Kerap membuang air yang tidak boleh ditahan.
  • Anemia (disebabkan darah haid yang banyak), berasa lemah dan letih. Kadangkala fibroid menyukarkan seseorang wanita itu untuk hamil. Fibroid juga boleh mendatangkan masalah jika wanita itu hamil seperti keguguran atau kelahiran bayi pra matang.
    Diagnosis
    Biasanya, untuk memastikan anda berhadapan dengan fibroid, doktor akan bertanya mengenai simptom yang anda alami. Selain itu, pemeriksaan bahagian pelvis akan dibuat. Cara paling mudah menggunakan mesin ultrasound yang boleh menunjukkan anda ruang rahim. Dengan imbasan, doktor juga boleh mengukur saiz fibraoid dan di mana ia tumbuh.
    Rawatan
    Anda tidak perlu tertekan jika alami fibroid. Anda hanya perlu jalani pemeriksaan bulanan bagi memudahkan doktor membuat rawatan.
    Simptom seperti sakit dan pendarahan yang teruk boleh ditangani dengan pil yang dibekalkan doktor. Biasanya, ubat yang diberi adalah pil perancang keluarga. Ubat ini dapat mengurangkan jumlah darah haid yang banyak.
    Jika anda berhadapan dengan anemia, biasanya doktor menyarankan anda mengambil pil zat besi atau memakan makanan mengandungi zat besi yang tinggi seperti daging, kacang dan sayur-sayuran hijau.
    Jika simptom fibroid terlalu menyakitkan, anda mungkin boleh berjumpa doktor bedah. Selalunya fibroid tumbuh dengan perlahan, jadi anda masih ada masa untuk membuat keputusan. Ada dua jenis pembedahan untuk fibroid. Lazimnya ia bergantung pada saiz fibroid, di mana kedudukannya dan adakah anda masih mahukan anak.
    Fibroid yang kecil boleh ditangani dengan pembedahan dinamakan ‘myomectomy’. Anda masih boleh mempunyai anak tetapi fibroid masih berisiko untuk tumbuh kembali.
    Pembedahan untuk mengeluarkan rahim disebut ‘hysterectomy’. Ia pembedahan yang biasa bagi fibroid dan satu-satunya cara untuk memastikan fibroid tidak menyerang kembali. Bagaimanapun, anda tidak boleh hamil dan pembedahan pula bukan satu-satunya rawatan penyakit itu. Ada pelbagai lagi termasuk mengecilkan fibroid. Apapun, semuanya bergantung pada anda ~ MDweb.com 
  • Apa Itu Fibroid?


    Fibroid adalah ketumbuhan biasa atau benign (bukan kanser) yang terdapat di dalam uterus/rahim wanita yang berusia sekitar 30 hingga 40-an.

    Ia merupakan salah satu ketumbuhan yang biasa terjadi kepada wanita semasa tahun-tahun kesuburan mereka.
    Biarpun begitu ia boleh tumbuh di lain-lain organ yang mengandungi sel-sel otot licin. Fibroid adalah tumor pejal yang terjadi daripada tisu-tisu fiber di mana dari situlah ia mendapat namanya.
    Lazimnya, fibroid tercetus sebagai ketumbuhan dan membesar secara perlahan-lahan, selalunya tanpa simptom.
    Malah kedudukan fibroid yang boleh menyebabkan kemandulan ini, telah mencetuskan kontroversi.
    Kenapa? Ketumbuhan ini merupakan penyebab utama bagi pembedahan histerektomi iaitu pembedahan mengeluarkan fibroid dan rahim.

    * Tidak pernah mengandung
    lazimnya mereka yang tidak pernah mengandung, gemuk, berkulit hitam, mempunyai risiko untuk mendapat fibroid.
    “Bagaimanapun tiada sebab-sebab tertentu seseorang itu boleh mendapat fibroid. Hanya sekitar 25 peratus sahaja pesakit fibroid yang mengalami simptom-simptom.
    “Ini termasuklah mereka yang mengalami pendarahan haid yang banyak, sakit sewaktu hubungan kelamin, kemandulan mahupun masalah dubur yang disebabkan oleh tekanan akibat daripada ketumbuhan fibroid ini,” jelas beliau.
    Bagi wanita mengandung pula, fibroid boleh menyebabkan komplikasi termasuk keguguran, sakit bersalin sebelum waktunya dan kesakitan akibat daripada infarksi yang berpunca daripada kekurangan bekalan darah atau menyebabkan kedudukan bayi tidak normal dan terpaksa menjalani pembedahan Caesarean semasa bersalin.
    Biarpun amat jarang berlaku, fibroid boleh berubah keadaannya dengan menjadi malignan, apabila ia cukup besar mahupun membesar dengan cepatnya.

    * Diagnosis
    Lazimnya, diagnosis dilakukan dengan mengambil kira sejarah simptom-simptom seperti yang dijelaskan di atas, atau secara kebetulan apabila pesakit menjalani pemeriksaan faraj yang berkala seperti ujian pap smear.
    “Bagi sesetengah wanita yang menjalani pemeriksaan kemandulan, fibroid boleh dilihat sewaktu menjalani imbasan ultrasound.
    “Imbasan ultrasound adalah sangat penting memandangkan ia juga boleh membezakan di antara sis dan lain-lain tumor pelvik,” 
    Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di mana magnet-magnet berkuasa tinggi digunakan untuk melihat struktur tisu-tisu juga berguna walaupun ia adalah mahal.
    Ia bermanfaat bagi membezakan di antara fibroid dengan adenomiosis iaitu satu keadaan yang berkaitan dengan endometriosis dan agak sukar untuk dirawat.
    Katanya: “Malah, ada yang datang berjumpa doktor setelah mendapati abdomen mereka semakin lama semakin membesar seperti mengandung. Selepas pemeriksaan dilakukan barulah diketahui wanita ini mengalami fibroid.”

    * Jenis-jenis fibroid
    Lokasi fibroid sering mempengaruhi tanda-tanda yang dialami dan pada sesetengah kes, rawatannya.
    - Fibroid submukus terdapat di bawah lapisan uterus dan boleh menyebabkan masalah haid termasuk kesakitan apabila ia membesar.
    - Fibroid intramural adalah fibroid bulat yang terdapat di dalam dinding uterus yang boleh menyebabkan pembesaran uterus.
    - Fibroid subserous tumbuh di luar dinding uterus dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda-tanda sehinggalah ia membesar dan mengganggu organ-organ lain.
    - Fibroid pedunkel berbentuk gagang tercetus apabila fibroid subserous mengeluarkan tangkai atau pedunkel, membesar serta membengkok dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat.
    - Fibroid submukus dan intramural lebih banyak mengundang kesakitan semasa haid dan mendatangkan masalah seperti keguguran. Sementara itu, subserous dan pedunkel pula boleh menyebabkan masalah kemampatan dan kesakitan terutamanya semasa kehamilan.
    - Fibroid interliganmentous tumbuh di sisi di antara ligamen yang menyokong uterus di dalam abdomen dan adalah sukar untuk mengeluarkannya yang berkemungkinan menjejaskan bekalan darah.
    - Fibroid parasitik, paling jarang berlaku di mana fibroid melekat pada organ lain.

    * Waktu sesuai merawat fibroid
    “Fibroid perlu dirawat sekiranya ia mula menunjukkan tanda-tanda seperti yang dijelaskan tadi.
    “Ia juga difikirkan sesuai, bagi sesetengah kes apabila seseorang wanita ingin hamil dan pandangan perubatan berbelah bahagi sama ada fibroid perlu dirawat atau mencari peluang mengandung,” kata Dr. 
    Kadangkala, haid yang terlalu banyak boleh menyebabkan seseorang wanita itu mendapat anemia.
    Pun begitu, katanya, kebanyakan doktor bersetuju biarpun tiada simptom-simptom, fibroid pedunkel agak jarang mencetuskan masalah besar bagi wanita hamil.
    Bagaimanapun bagi fibroid submukus, ia berkemungkinan menyebabkan wanita lambat hamil serta mengakibatkan wanita hamil mengalami keguguran.
    Keputusan untuk merawat atau tidak sebenarnya bergantung kepada usia wanita itu sendiri, saiz fibroid, pernah keguguran dan sama ada rahim menjadi herot kerana kewujudan fibroid itu.
    Dr. menambah, usia adalah faktor penting kerana fibroid akan membesar di bawah pengaruh estrogen dan fibroid juga mudah dikeluarkan di kalangan wanita muda dan ketika fibroid masih kecil lagi.
    Bagi wanita yang berusia, mereka perlu berjaga-jaga apabila membuat keputusan untuk melengahkan pembedahan.
    “Bagaimanapun, wanita yang telah menjalani pembedahan mengeluarkan fibroid perlu mengambil masa sebelum mengandung. Pakar akan menasihati masa yang sesuai mengikut keadaan pesakit,” ujarnya lagi.

    * Rawatan fibroid
    Rawatan fibroid bergantung kepada saiz dan kedudukan fibroid itu.
    - Rawatan hormon; terapi hormon sangat berguna kepada wanita yang hampir menopaus dan bercadang untuk mengelak pembedahan. Bagaimanapun terapi ini tidak banyak memberi manfaat kepada wanita yang bercadang untuk hamil.
    - Reseksi histeroskopi; lazimnya dilakukan ke atas fibroid submukus asalkan fibroid itu berukuran kurang daripada l0 sentimeter garis pusat. Beberapa proses dilakukan sebelum pembedahan dapat dilakukan.
    Pembedahan membuang fibroid ini menggunakan sejenis alat berupa wayar khas bersama histeroskop yang dimasukkan ke dalam uterus melalui serviks/pangkal rahim.
    - Pembedahan laparoskopi atau miomektomi laparoskopi pula adalah pembedahan bagi mengeluarkan fibroid.
    Intramural dan subserous boleh dikeluarkan melalui pembedahan ini melalui dua insisi/pemotongan 10 milimeter panjang, satu di bahagian pusat dan satu lagi di garisan abdomen.
    Hanya segelintir sahaja pakar yang mengambil pilihan ini kerana ia mengambil masa yang lama dan cukup mencabar.
    - Miomektomi terbuka, pembedahan konvensional yang dilakukan melalui insisi di bahagian bawah, memanjang atau menegak di bahagian garisan bikini (antara ari-ari dan abdomen). Otot-otot uterus dibedah dan fibroid dikeluarkan.
    Doktor biasanya akan mengesyorkan wanita yang hamil selepas pembedahan ini untuk menjalani pembedahan Caesarean apabila sampai masanya untuk bersalin.
    - Histerektomi bergantung kepada usia, bilangan anak, masalah kesihatan wanita serta lain-lain faktor.
    Wanita yang menjalani histerektomi tidak akan mempunyai haid lagi kerana rahimnya sudah dikeluarkan sekali bersama fibroid.

    * Nasihat pakar
    Dr. menegaskan, bagi wanita yang menopaus, mereka perlu mendapat rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda menopaus yang teruk.
    Dalam hal ini, suami perlu memberi sokongan yang sewajarnya untuk isteri dalam meneruskan kehidupan seharian termasuk dalam hubungan suami isteri.
    Beliau juga menekankan, wanita perlu menjalani ujian pap smear secara berkala untuk mengesan kanser servik dan fibroid. Fibroid yang aktif dan cepat membesar juga berbahaya bagi wanita.
    Wanita yang melalui pembedahan perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan yang ideal serta melakukan senaman yang bersesuaian apabila mereka sudah pulih sepenuhnya. Jumpalah doktor untuk nasihat selanjutnya.