Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam
al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa, Isa
putera Mariam, putera Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang
yang sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua
alam. Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam,
Allah memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua
perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi
Isa, telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih
untuk melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia
adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi
Isa merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan
di dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada
Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan
tanpa cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu
bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata, 'Aku hanyalah seorang rasul yang datang
daripada Pemelihara kamu, untuk memberi kamu seorang anak lelaki yang
suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang datang itu
telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh
Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat sambil
berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai
Mariam, Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata
daripada-Nya, yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan
di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada
seorang manusia pun menyentuhku, dan bukan juga aku seorang jalang?"
(19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah
berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi
manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang telah
ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun sebelum
Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda)
bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga
menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa
ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta
daripada tanah (3:59).
Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada
tanah.
Kerasulan dan
Kenabian
Isa adalah
seorang Nabi dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah
dilebihkan Allah daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata
kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti
yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan
rasul-rasul itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain.
Sebahagian ada yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan
darjat. Dan Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami
mengukuhkan dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu,
manusia dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi.
Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah,
'Kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang
diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak,
dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi
daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara
mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat
membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa
dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi
Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil,
yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain
menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan
kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di
sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera
Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil,
di dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya mengatakan kepada mereka apa yang Engkau
memerintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara
kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai
kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji
dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga
didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam hal agama.
Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan.
Firman Allah:
"dia (Isa)
berkata, 'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku
memperjelaskan kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan;
maka kamu takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga
memberitahu tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan
dipuji. Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani
Israil, sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang
sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang
selepas aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau
Rasul yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang
tidak setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada
Allah dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika
Aku mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan
rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman
kami.'" (5:111)
Pengikut-pengikut
yang setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah.
Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu juga bagi
pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi
penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman
Allah:
"Wahai
orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa
putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan
menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia
berkata, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana
pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk
megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu
mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila
pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah
Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'
Dia (Isa)
berkata, 'Kamu takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata,
'Kami menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram,
supaya kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami
adalah antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa
memohon kepada Allah,
"Ya Allah,
Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang
akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami,
dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau
yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan
permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi
Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah
kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada
kelahiran yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan
beberapa mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika
Allah berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu,
dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci),
untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa
..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang
seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia
seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta,
dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati,
dengan izin-Ku' ..... lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka
berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi
Muhammad hanya diberi satu mukjizat, manusia ditegah daripada berkata bahawa
Nabi Isa adalah lebih mulia daripada Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah
maklum, amalan membeza-beza para Nabi dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak
Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti
kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi
diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan
disalib. Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah
tempat lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan
baginda telah melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang
menunjukkan baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila
Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu
kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya
.....'" (3:55)
"Dan aku (Isa)
seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah
Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka;
Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi,
sebahagian daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya
disalib. Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu
kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan
mereka, 'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi
mereka tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu
kesamaan yang ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih
mengenainya benar-benar dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada
pengetahuan mengenainya, kecuali mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya,
yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi
kepercayaan terhadap Nabi Isa yang tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an,
iaitu baginda akan muncul lagi di bumi buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila
rujuk artikel Menanya
Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam
Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku. Pertama,
orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau
berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh
Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami
tidak menuliskan (menetapkan) untuk mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa
sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar biasa dan
mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong dalam
kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang
berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17),
dan
"orang-orang Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.'
Itu adalah ucapan daripada mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak
percaya sebelum mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka
dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan
kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul
sebelum dia telah berlalu. Ibunya seorang wanita yang benar; mereka berdua
makan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada
mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau
Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk mengeluarkan
makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang
terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang yang
mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga
dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan
agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan
serupa itu sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah
menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada
Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa
putera Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku
sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan
menjawab:
"Kepada
Engkau sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak
dengannya. Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa
yang di dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya
bersambung lagi:
"Aku hanya
mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad
juga akan ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya
mengenai sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai
Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang
tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang
berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih
ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
No comments:
Post a Comment